Thursday, July 30, 2009

Pelajar Aeronautik Di UTHM

BATU PAHAT 22 Julai - Seramai 25 pelajar akan diambil Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk mengikuti pengajian baru jurusan Kejuruteraan Aeroneutik (Penerbangan Profesional) pertengahan tahun depan.
Naib Canselor UTHM, Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, mereka merupakan kumpulan pertama yang bakal dianugerahkan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeroneutik dengan kepujian serta lesen juruterbang apabila menamatkan pengajian selama empat tahun.
Menurutnya, pengajian sulung dijangka bermula Julai tahun depan di kampus UTHM Sri Gading bagi program Sarjana Muda.
''Manakala latihan juruterbang pula akan dijalani pelajar di Asia Pacific Flight Training (APFT), di Kota Bharu, Kelantan yang diiktiraf oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas dua upacara menandatangani Memorandum Perjanjian antara UTHM dengan APFT dan antara UTHM dengan EMC Management Centre Sdn. Bhd., di UTHM di sini semalam.
UTHM diwakili Mohd. Noh manakala APFT oleh Pengerusinya, Datuk Faruk Othman dan EMC Management Centre pula oleh Pengarah Urusan EMC Training Sdn.Bhd., Hamid Abdullah.
Mohd. Noh berkata, UTHM merupakan universiti pertama di negara ini yang akan melahirkan jurutera sekali gus berkelayakan menerbangkan pesawat komersial.
''Segala kemudahan makmal telah pun disediakan dan sebab itu kami memberanikan diri untuk memulakan pengajian tersebut," katanya.
Selain itu, menurut beliau, pihaknya juga sedang giat membangunkan prasarana di Lapangan Terbang Tanjung Labuh yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kampus UTHM.
Menurutnya, lapangan terbang itu asalnya milik DCAM dan segala kemudahan yang sedia ada ditingkatkan oleh UTHM.
Mengenai kelayakan kemasukan, beliau berkata, selain memiliki kelulusan biasa untuk program ijazah, calon diwajibkan mempunyai minat dalam bidang tersebut dan benar-benar sihat.
''Setiap calon akan diperiksa kesihatannya dan mereka yang benar-benar sihat sahaja diambil," katanya.
Sementara itu, Faruk berkata, program itu merupakan usahasama pertama dijalinkan pihaknya dengan IPTA di negara ini.
''Kami akan memastikan semua kadet juruterbang menerima latihan berkualiti di APFT dan mempunyai daya saing yang tinggi di pasaran penerbangan," katanya.
Menurut beliau, struktur program itu mengandungi dua bahagian iaitu pelajar akan mengikuti pengajian bahagian pertama di UTHM selama dua tahun dan kemudian ke akademi APFT bagi tempoh pengajian selanjutnya selama 18 hingga 20 bulan.
''Pengambilan pelajar pertama bagi program ini ialah pada sesi 2010/ 2011," katanya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails